Sunday 29 January 2017

Sekadar Memori Kita di Arena Ini

Lepas makan malam bersama kru program JLM Edisi 6 sebagai apresiasi ringkas semalam, feel dia lain macam juga dengan rasa ulser yang dah tak seberapa nak menyengat berbanding seminggu kebelakangan ini, ditambah pula dengan lagu-lagu daripada kumpulan busking Steplight Band yang secara kasarnya biasa sahaja tetapi tetap enjoy dan mengasyikkan suasana.

Zain dengan gagahnya menyanyikan lagu-lagu pilihan

Dalam masa semua dah selesai menjamah makanan, sebelum pulang kami berkira-kira untuk 'takeover' kumpulan busking tadi dengan meminta untuk menyanyikan sebuah lagu. Sporting! tanpa berkira banyak mereka dengan ramah mengizinkan. Apa lagi, kawasan sekitar Steplight Band yang pada awalnya sedikit lengang mula dikelilingi kru JLM6 dan Zain, mula mengambil tempat.

Berita kepada kawan. Petikan string gitar disusuli bass pada awal permulaan dengan rentak yang sedang-sedang sudah cukup untuk menjawab teka-teki lagu apa yang bakal dimainkan. Sambil menulis draf kasar untuk Bengkel D.I.Y GSD Sabtu ini, dalam hati aku bertanya bagaimana lagu berirama balada ini kekal relevan sejak awal kemunculannya pada akhir 70-an sehingga sekarang? Nyanyian yang santai dan bersahaja namun pada sisi lain wujud sebuah persoalan yang maha besar akan perihal yang didemonstrasikan melalui bait-bait lirik lagunya.

Apabila berbicara tentang bencana dan musibah yang sering kita hadapi, samada perlu untuk kita menyalahkan sepuluh jari ini atau apa? Menyaksikan segalanya berlaku begitu sahaja lalu merujuknya sebagai sebuah ketetapan takdir lantas menjustifikasikan bicara tuhan yakni telah berlaku fasad di darat dan lautan yang hasilnya itu datang daripada tangan manusia sendiri lalu kemudian ditimpakan bencana dan malapetaka itu kepadanya semula atas apa yang telah dikerjakan agar mereka kembali insaf dan bertaubat.

Ya alam itu tidur. Namun didalam tidurnya tersimpan penuh dendam untuk apa yang telah diperolehinya selama ini.

Lalu apabila kita bertanya kepada rumput yang bergoyang itu, tidaklah sekadar pertanyaan biasa yang disampaikan akan tetapi sebuah medan untuk kita kembali bermuhasabah. Apabila padang rumput yang dahulunya menjadi wadah silaturrahim anak-anak kecil menikmati detik manis masa mudanya dan warga tani menadah tangan bersyukur menuai hasil tuaiannya.

Ia tidak menjawab. Diatasnya tiada lagi kedengaran tawa anak kecil dan doa merafakkan syukur yang sering kedengaran ketika dahulu, namun kini padang rumput yang dahulunya menghijau menjadi kontang menanti bangunnya sebuah infrastruktur baru yang bakal mengubah keseluruhan landskap atas arahan insan yang bergelar tuan.

Dalam masa Zain dah habis menyampaikan berita kepada kawan, feeling kru JLM6 yang mengelilingi tadi diteruskan lagi dengan lagu Kau Ilhamku, daripada Man Bai.

Sepanjang lagu itu dinyanyikan, aku sekadar dapat menangkap sepotong lirik, yang mungkin menjadi alasan kepada sesiapa sahaja yang terlibat,

"Sekadar memori kita di arena ini"
Load disqus comments

0 comments